Bismillah, Alhamdulillah. Selawat dan salam ke atas Nabi Muhammad s.a.w. serta ahli keluarga dan para sahabatnya. Pada kesempatan kali ini Insya Allah kita akan membincangkan sedikit sebanyak mengenai harta warisan.
Jikalau ditanyakan kepada masyarakat umum apakah yang mereka fahami tentang harta warisan, mereka akan menjawab: “FARAIDH” ataupun “Anak Lelaki mendapat dua bahagian Anak Perempuan, atau lebih teruk lagi “Islam tidak adil!!”.
Pertama sekali kita seharusnya memahami bahawa perbahasan dan perbincangan mengenai harta warisan adalah satu perbahasan yang luas dan tidak terhad kepada Faraidh sahaja. Amat jelek jikalau kita katakan bahawa Faraidh adalah satu-satunya cara pembahagian harta pusaka dalam Islam.
Ayar terakhir yang diturunkan oleh Allah kepada Nabi Muhammad s.a.w. adalah ayat 3 surah Al-Maidah: “Pada hari ini, Aku telah sempurnakan bagi kamu agama kamu dan Aku telah cukupkan nikmatKu kepada kamu dan Aku telah redakan Islam itu menjadi agama untuk kamu”. Islam telah lengkap dan maksudnya segala hukum-hukum telah jelas ditetapkan oleh Allah s.w.t. dan sudah pasti harta pusaka juga adalah satu perkara yang telah dilandaskan hukumnya oleh Allah s.w.t. sama ada di dalam Al-Quran mahupun melalui kalam Nabi Muhammad s.a.w. dalam bentuk hadith yang sahih.
Apa yang perlu kita ketahui adalah, selain daripada Faraidh, terdapat beberapa lagi cara-cara atau alat-alat lain yang telah disediakan oleh Allah s.w.t. bagi umat Islam untuk mereka menguruskan harta mereka. Lihatlah betapa indahnya dan sempurnanya Islam, sehinggakan setiap apa yang kita lakukan di dunia ini daripada kita mula dilahirkan sehinggalah kita meninggal dunia ada ketetapan yang telah ditentukan oleh Allah s.w.t.
Insya Allah pada “post” yang akan datang saya akan menerangkan dengan lebih lanjut mengenai harta pusaka/warisan/peninggalan ini. Di mana cara menguruskannya terbagi kepada dua: sebelum dan selepas kita meninggal dunia.
Sampai di sini sahaja, semoga kita berjumpa di kesempatan yang lain, ilalliqaa’ dan fi amanillah.
Wassalam.